Ahad, 11 November 2007

Sejarah Negara Brunei Darussalam

Susur Galur dan Sejarah Pembukaan Negara Brunei Darussalam


Perkataan ‘Brunei’ dikatakan berasal dari perkataan ‘baru nah’. Dalam kurun ke-7 M atau 8 M, suku Sakai yang dipimpin oleh Patih Berbai pergi ke Sungai Brunei untuk mencari suatu tempat yang sesuai untuk didirikan negeri baru. Akhirnya, tempat tersebut iaitu Bandar Seri Begawan sekarang dijadikan negeri kerana kedudukannya yang begitu strategik, sungainya kaya dengan sumber protein dan air manakala kawasannya yang berbukit-bukau terlindung dari bencana. Disebabkan itu, mereka pun mengucapkan perkataan ‘baru nah’ yang bermaksud tempat itu sangat baik. Lama-kelamaan, perkataan ‘baru nah’ itu berubah menjadi Burneo dan akhirnya Brunei.


Brunei pada asalnya dikenali dengan nama Burneo (dalam dialek Melayu-Brunei, tidak wujud abjad ‘o’ di tengah kata, tetapi digantikan dengan huruf ‘u’. Sepatutnya ‘Borneo’). Ini menunjukkan bahawa Brunei pernah suatu ketika menguasai keseluruhan Pulau Borneo. Nama pulau tersebut juga dipercayai diambil dari nama Brunei.


Sebelum tertubuhnya Kesultanan Melayu Brunei, para pengkaji sejarah mempercayai bahawa telah wujud kerajaan lain yang dikenali dengan nama Po-ni berdasarkan catatan I-Ching dari China. Manakala catatan Arab pula memanggil kerajaan tersebut dengan nama Dzabaj atau Randj.


Zaman Kegemilangan Empayar Brunei


Brunei mencapai zaman emasnya dalam abad ke-15 M hingga ke-17 M ketika pemerintahan Sultan Bolkiah (1473-1521) di mana kawasan empayarnya diluaskan ke seluruh Pulau Borneo, kepulauan Mindanao dan Manila di Filipina. Dalam abad ke-15, iaitu bermula pada tahun 1511, Brunei telah mengambil alih peranan Melaka sebagai pusat penyebaran agama Islam yang terpenting di rantau Asia Tenggara.


Kemerosotan Empayar Brunei


Kemerosotan Empayar Brunei berlaku dalam abad ke-19 di mana Brunei telah kehilangan banyak wilayahnya kepada Raja Putih Sarawak, James Brooke. Ketika itu, Sultan Omar Ali Saifuddin II telah melantik Pangeran Indera Mahkota untuk mewakili Kesultanan Brunei di Sarawak. Walau bagaimanapun, Pangeran Indera Mahkota telah menindas orang-orang Melayu dan Bidayuh di Sarawak. Makanya, dalam tahun 1836, penduduk Sarawak telah menimbulkan penentangan untuk membebaskan Sarawak daripada pemerintahan Kesultanan Brunei. Sultan Omar kemudiannya menghantar Pangeran Raja Muda Hashim untuk membantu menyekat penentangan di sana kerana Pangeran Indera Mahkota gagal berbuat demikian.


James Brooke, seorang bekas tentera British dan pelayar bebas yang ketika itu sedang berlabuh di Sarawak diminta bantuannya oleh Pangeran Raja Muda Hashim untuk menamatkan kekacauan. Pangeran Raja Muda Hashim menawarkan jawatan Gabenor Sarawak jika James Brooke berjaya menamatkan penentangan di Sarawak. Apabila James Brooke telah berjaya, Pangeran Raja Muda Hashim melengah-lengahkan janjinya dan akibatnya James Brooke bersama angkatan tenteranya telah membedil bandar Kuching. Dalam tahun 1841, James Brooke dilantik oleh Pangeran Raja Muda Hashim menjadi gabenor dan raja Sarawak yang pertama.


Pada tahun 1842 pula, James Brooke menghadap Sultan Omar untuk mengesahkan perlantikannya. Hasilnya, beliau dilantik menjadi Raja Putih Sarawak. Sultan Omar kemudiannya melancarkan peperangan terhadap James Brooke pada tahun 1846, tetapi tewas dalam peperangan tersebut kerana James Brooke dibantu oleh angkatan tentera British. Akhirnya, baginda tidak mempunyai pilihan lain kecuali mengiktiraf kedaulatan James Brooke ke atas Sarawak.


Sarawak yang pada asalnya hanya merangkumi kawasan sekitar bahagian Kuching hingga ke Sungai Samarahan membesar sedikit demi sedikit sehingga seperti yang dapat kita lihat pada hari ini. Semua ini berlaku kerana dasar perluasan kuasa yang diamalkan oleh keluarga Brooke. Dasar perluasan kuasa ini tamat pada tahun 1905.


Penyatuan kerajaan Brunei dengan Persekutuan Malaysia


Tanggal 27 Mei 1961, iaitu ketika cadangan untuk menubuhkan Persekutuan Malaysia diusulkan oleh Tunku Abdul Rahman (Perdana Menteri Malaysia yang pertama), Brunei dengan pantasnya memberi sokongan. Sultan Omar Ali Saifuddin III telah bersetuju untuk menyertai Persekutuan Malaysia yang bakal merangkumi Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan negaranya sendiri. Walau bagaimanapun, penyatuan Brunei dengan Persekutuan Malaysia amat ditentang oleh A. M. Azahari, iaitu pemimpin Parti Rakyat Brunei. Beliau ketika itu telah dipengaruhi oleh kerajaan Indonesia dan Filipina yang turut menentang keras penubuhan Persekutuan Malaysia. Indonesia ingin bersatu dengan Malaysia yang mahu dinamakannya Indonesia Raya atau Melayu Raya manakala Filipina pula menuntut negeri Sabah yang didakwanya sebagai wilayah jajahan Kesultanan Sulu, sebuah institusi kesultanan di negaranya.


A. M. Azahari juga turut berhasrat dan mengusulkan cadangannya untuk menyatukan Brunei, Sabah dan Sarawak yang bakal dikenali dengan nama Kalimantan Utara atau Persekutuan Borneo Utara. Walau bagaimanapun, Majlis Negeri Brunei tidak meluluskan penubuhan Persekutuan Brunei seperti yang dicadangkannya. Makanya, Parti Rakyat Brunei telah melancarkan suatu pemberontakan diketuai A. M. Azahari untuk menggulingkan Sultan Omar Ali Saifuddin III dari takhtanya pada 7 Disember 1962. Sultan Omar akhirnya terpaksa membatalkan rancangannya untuk menyertai gagasan Persekutuan Malaysia demi mengekalkan keamanan.


Bandar Seri Begawan Sebagai Ibu Negara


Bandar Seri Begawan, ibu negara Brunei Darussalam


Nama Bandar Seri Begawan diambil sempena memperingati gelaran yang diberikan kepada Sultan Omar Ali Saifuddin III, Sultan Brunei yang ke-28, iaitu Paduka Seri Begawan Sultan. Pada tahun 1970, nama asal Bandar Seri Begawan iaitu Bandar Brunei telah ditukar namanya. Rakyat tempatan memanggil ibu negara mereka dengan nama ‘Bandar’ seperti nama ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur yang disingkatkan menjadi KL.


Kemerdekaan Brunei


Brunei mencapai kemerdekaannya pada 1 Januari 1984 dari kerajaan British. Walau bagaimanapun, kemerdekaan Brunei disambut secara rasmi pada 23 Februari 1984. Sebelum ini, Brunei merupakan sebuah negara perlindungan United Kingdom sejak 1888.

5 ulasan:

Unknown berkata...

Erti siman macam tapai

Unknown berkata...

Erti siman macam tapai

Unknown berkata...

Pertambahan siman macam tapai

Unknown berkata...

Pertambahan siman macam tapai

Unknown berkata...

Pertambahan siman macam tapai