Ahad, 11 November 2007

Negara Brunei Darussalam

ﻨﻜﺎﺮﺍ ﺑﺮﻭﻨﻲ ﺪﺍﺭﺍﻠﺴﻼﻢ


Brunei Darussalam, satu-satunya negara Melayu di atas muka bumi yang mengamalkan pemerintahan berbentuk monarki berbanding Malaysia yang menjalankan pemerintahan berbentuk Persekutuan Raja Berpelembagaan (Penyatuan kerajaan-kerajaan beraja di bawah satu negara). Negara kecil ini yang tersorok di antara negeri Sabah dan Sarawak di Pulau Borneo merupakan sebuah negara yang memiliki khazanah alam yang tidak ternilai sehingga digelar ‘Hati Kehijauan Borneo’


Kedudukan geografi Brunei terpisah kepada dua bahagian oleh bahagian Limbang di Sarawak dan terbahagi kepada 4 daerah (38 mukim), iaitu Brunei & Muara, Tutong, Belait dan Temburong. Daerah terbesar adalah Belait, manakala daerah terkecil adalah Brunei & Muara. Walaupun Brunei & Muara itu daerah yang terkecil, tetapi kira-kira 70% dari lebih 385, 000 penduduk negara ini tinggal di daerah tersebut dengan hampir 50, 000 orang tinggal di kawasan pusat Bandar Seri Begawan. Hanya kira-kira 12,000 (3%) penduduknya yang tinggal di daerah Temburong yang terpisah.


Peta Negara Brunei Darussalam


Sejak dahulu lagi, bahagian Limbang di Sarawak dituntut oleh kerajaan Brunei supaya negara tersebut tidak lagi terpisah kepada 2 bahagian. Majoriti penduduk Limbang adalah orang Melayu berketurunan Brunei. Selain itu, kerajaan Brunei juga menuntut pulau-pulau yang terletak di antara Brunei dan Wilayah Persekutuan Labuan yang pernah menjadi miliknya. Ini demi meluaskan perairannya serta mengeksploit minyak mentah dan gas asli yang terdapat di kawasan tersebut. Walau bagaimanapun, pulau-pulau tersebut diiktiraf sebagai sebahagian dari Malaysia di peringkat antarabangsa.


Brunei merupakan salah sebuah dari 10 kerajaan Melayu yang memiliki raja atau sultan. Dari 10 buah kerajaan tersebut, Brunei satu-satunya kerajaan yang berdaulat kerana bergelar negara berbanding baki sembilan kerajaan lagi yang menjadi sebahagian dari Persekutuan Malaysia atau hanya bertaraf negeri. Untuk fakta, Brunei juga merupakan satu-satunya kerajaan Melayu beraja yang terletak di luar Semenanjung Tanah Melayu.


Hasil ekonomi Brunei banyak dipengaruhi oleh kegiatan perlombongan minyak mentah dan gas asli. Penemuan lombong petroleum di perairannya pada tahun 1924 oleh Syarikat Shell Brunei merupakan satu rahmat dari Allah s.w.t. Lantaran itu, Brunei mencatatkan kenaikan ekonomi secara mendadak yang tertinggi dalam sejarah dunia, iaitu sebanyak 2400%. Malaysia sendiri mengambil masa hampir 50 tahun untuk mencatatkan kenaikan ekonomi setinggi itu. Disebabkan itu, Brunei menjadi kerajaan Melayu yang terkaya di dunia dan antara kuasa kuat ekonomi Asia. Walaupun begitu, purata kenaikan ekonomi Brunei adalah kurang 1% setahun berbanding Malaysia, iaitu lebih 6% setahun.


Salah sebuah pelantar minyak yang terdapat di perairan Brunei


Demi mengukuhkan kedudukan ekonominya, kerajaan Brunei telah menukarkan nama rasmi mata wangnya dari Ringgit Brunei kepada Dolar Brunei di peringkat antarabangsa. Berbeza dengan Brunei, mata wang Malaysia masih dikenali sebagai Ringgit Malaysia (RM / MYR) di peringkat yang sama. Tukaran Dolar Brunei (BND) berbanding Dolar Amerika (USD) adalah kira-kira BND 1.545 sedolar. Meskipun begitu, mata wang dolar tersebut masih dikenali sebagai ringgit dalam kalangan masyarakat Melayu tempatan. Untuk fakta, perkataan ringgit itu sendiri merupakan istilah dolar dalam bahasa Melayu.


Mata wang 50 Ringgit Brunei (pandangan hadapan)



Mata wang 50 Ringgit Brunei (pandangan belakang)


Sebelum tahun 1924, kegiatan ekonomi Brunei adalah berasaskan Industri Kecil Sederhana (IKS). Ketika itu, Brunei adalah antara negara termiskin dunia, tetapi kini Brunei telah terkenal di seantero dunia dengan kekayaannya. Pendidikan dan perubatan rakyat dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan hasil dari faedah minyak. Di samping itu, kerajaan turut memberikan subsidi beras dan perumahan kepada semua rakyatnya. Kesannya, rakyat negara Brunei menikmati purata pendapatan tahunan sebanyak USD 24, 826 atau BND 38, 367 / RM 84, 408.


Sultan Brunei ketika ini, iaitu Sultan Haji Hassanal Bolkiah merupakan pemerintah yang terkaya
di dunia. Baginda pernah menjadi orang terkaya di dunia sebelum ditandingi oleh Bill Gates, seorang usahawan perisian komputer dari Amerika Syarikat. Istananya yang dibina di tebing Sungai Brunei, merupakan istana kediaman yang terbesar di dunia bersama-sama kubah yang disaluti emas melambangkan kekayaan negara Brunei.

Istana Nurul Iman, lambang kekayaan Negara Brunei Darussalam


Pengamalan hukum dan budaya Islam di Brunei dilihat lebih konservatif berbanding Malaysia. Ini kerana penjualan dan pengambilan arak di hadapan khalayak diharamkan. Awal 1990-an, semua pub dan kelab malam di Brunei diarahkan tutup serta-merta dan diharamkan beroperasi. Selain itu, tiada manusia yang dapat dilihat bermandi-manda di kawasan pantai kerana undang-undang Brunei telah menetapkan bahawa sebarang aktiviti yang melibatkan pendedahan aurat kepada orang ramai diharamkan.


Brunei merupakan satu-satunya negara di dunia yang mempunyai dua tulisan rasmi untuk satu bahasa, iaitu jawi dan rumi. Walaupun sistem tulisan bahasa Melayu itu sememangnya terbahagi kepada kedua-dua tulisan tersebut, di Malaysia, Indonesia dan Singapura, tulisan jawi hanya terbatas kepada hal-hal keagamaan sahaja jika dibandingkan dengan Brunei. Pemandangan biasa yang dapat dilihat di Brunei ialah pemaparan kedua-dua jenis tulisan di papan-papan tanda penunjuk arah dan nama jalan serta sebagainya. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa buah negeri di Malaysia yang masih mengutamakan jawi seperti Brunei, iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.


Seperti mana Malaysia, penduduk negara Brunei juga terdiri daripada masyarakat berbilang kaum. Kira-kira 66% penduduknya adalah suku Melayu Brunei, manakala bakinya terdiri daripada kaum Cina, suku-suku Melayu yang lain (Kedayan, Tutong, Dusun, Belait, Murut dan Bisaya) dan suku-suku kaum yang berasal dari Sabah dan Sarawak terutamanya Iban. Minoriti terbesar didominasi oleh kaum Cina dengan peratusan melebihi 15%.

Tiada ulasan: