Ahad, 11 November 2007

Negara Brunei Darussalam ﻨﻜﺎﺮﺍ ﺑﺮﻭﻨﻲ ﺪﺍﺭﺍﻠﺴﻼﻢ


Brunei Darussalam, satu-satunya negara Melayu di atas muka bumi yang mengamalkan pemerintahan berbentuk monarki berbanding Malaysia yang menjalankan pemerintahan berbentuk Persekutuan Raja Berpelembagaan (Penyatuan kerajaan-kerajaan beraja di bawah satu negara). Negara kecil ini yang tersorok di antara negeri Sabah dan Sarawak di Pulau Borneo merupakan sebuah negara yang memiliki khazanah alam yang tidak ternilai sehingga digelar ‘Hati Kehijauan Borneo’


Kedudukan geografi Brunei terpisah kepada dua bahagian oleh bahagian Limbang di Sarawak dan terbahagi kepada 4 daerah (38 mukim), iaitu Brunei & Muara, Tutong, Belait dan Temburong. Daerah terbesar adalah Belait, manakala daerah terkecil adalah Brunei & Muara. Walaupun Brunei & Muara itu daerah yang terkecil, tetapi kira-kira 70% dari lebih 385, 000 penduduk negara ini tinggal di daerah tersebut dengan hampir 50, 000 orang tinggal di kawasan pusat Bandar Seri Begawan. Hanya kira-kira 12,000 (3%) penduduknya yang tinggal di daerah Temburong yang terpisah.


Peta Negara Brunei Darussalam


Untuk lanjutan kepada artikel ini, sila klik Negara Brunei Darussalam

Dialek Melayu Brunei


Kawasan Dialek


Dialek Melayu-Brunei dituturkan oleh orang-orang Melayu berketurunan Brunei yang bermastautin di negara Brunei Darussalam, Wilayah Persekutuan Labuan, dan sesetengah tempat di negeri Sabah dan Sarawak.


Sungguhpun, orang-orang Melayu Brunei itu bertaburan di seluruh negeri Sabah dan Sarawak, mereka tidak terpengaruh dengan dialek-dialek Melayu yang lain seperti dialek Melayu-Sarawak dan bahasa Kedayan (dialek Melayu-Sabah) walaupun dialek-dialek tersebut dituturkan secara meluas oleh orang-orang Melayu Sarawak dan orang-orang Kedayan. Kejadian ini adalah jauh berbeza dengan apa yang berlaku di Semenanjung Malaysia kerana kepadatan penduduk yang pesat di semenanjung telah mendorong kepada berlakunya percampuran bahasa antara setiap suku Melayu di mana setiap suku dapat memahami bahasa pertuturan suku yang lain.


Bentuk muka bumi di Pulau Borneo yang bergunung-ganang telah menghalang penyebaran dialek Melayu-Brunei ke luar sempadan negaranya. Disebabkan itu, dialek Melayu-Brunei hanya mempunyai sebuah pusat penyebaran dan perkembangannya, iaitu Bandar Seri Begawan. Wilayah Persekutuan Labuan tidak dikira sebagai pusat penyebaran dialek Melayu-Brunei di luar negara disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya, kedudukan pulau tersebut yang terlalu hampir dengan Brunei selain berlakunya penyebaran bahasa Kedayan di situ (kerana lokasi W.P Labuan juga berdekatan dengan negeri Sabah).


Bandar Seri Begawan, ibu Negara Brunei Darussalam


Suku Melayu Brunei


Seperti suku-suku Melayu yang lainnya, orang Melayu Brunei juga merupakan salah satu dari kebanyakan suku-suku Melayu yang bertaburan di seluruh Nusantara.


Di Malaysia, suku Melayu-Brunei banyak terdapat di negeri Sabah, menjadikannya etnik Melayu kedua terbesar di negeri tersebut. Orang Kedayan, iaitu kumpulan etnik Melayu yang terbesar di Sabah mempunyai darah campuran Melayu-Brunei dan Jawa.


Jumlah sebenar suku Melayu Brunei tidak dapat dipastikan kerana tiada kajian yang dilakukan untuk memastikannya. Jika ada kajian yang dilakukan pun, kajian tersebut pasti menemui jalan buntu kerana orang-orang Melayu Brunei tinggal berserakan di seluruh negeri Sabah dan Sarawak. Akan tetapi, berdasarkan kiraan secara kasar, jumlah keseluruhan orang Melayu berketurunan Brunei adalah seramai hampir 400, 000 orang (65% daripadanya tinggal di Negara Brunei Darussalam manakala 35% lagi tinggal di negeri Sabah dan Sarawak)


Ciri-ciri Dialek Melayu-Brunei


Terdapat pengguran huruf ‘h’ di tengah kata, contohnya ‘lihat’=liat, ‘pahit’=pait


Sesetengah huruf ‘e’ dan ‘i’ di tengah kata digantikan dengan huruf ‘a’, misalnya ‘kena’=kana, ‘sebut’=sabut, ‘itu’=atu, ‘ini’=ani


Selain itu, terdapat juga penggantian abjad ‘e’ sebelum akhir kata dengan abjad ‘i’, contohnya ‘boleh’=bulih. Seperti yang dapat kita lihat dalam perkataan ‘boleh’, huruf ‘o’ selepas awal kata turut digantikan dengan huruf ‘u’


Kesimpulannya, sebutan dalam dialek Melayu-Brunei agak dipengaruhi oleh sebutan jawi. Di samping itu, dialek Melayu-Brunei mempunyai ciri-ciri persamaan dengan bahasa Minangkabau dialek Padang (seperti 'e' dan 'i' ke 'a', dan penggunaan sebutan jawi yang meluas) kerana sejarah menunjukkan bahawa suku Sakai (iaitu keturunan Melayu-Brunei yang terawal) merupakan suku Melayu-proto (yang hanya terdapat di Semenanjung Malaysia) dari keturunan Minangkabau yang bertutur dalam bahasa Minangkabau.

Tiada ulasan: