Ahad, 11 November 2007

Negara Brunei Darussalam ﻨﻜﺎﺮﺍ ﺑﺮﻭﻨﻲ ﺪﺍﺭﺍﻠﺴﻼﻢ


Brunei Darussalam, satu-satunya negara Melayu di atas muka bumi yang mengamalkan pemerintahan berbentuk monarki berbanding Malaysia yang menjalankan pemerintahan berbentuk Persekutuan Raja Berpelembagaan (Penyatuan kerajaan-kerajaan beraja di bawah satu negara). Negara kecil ini yang tersorok di antara negeri Sabah dan Sarawak di Pulau Borneo merupakan sebuah negara yang memiliki khazanah alam yang tidak ternilai sehingga digelar ‘Hati Kehijauan Borneo’


Kedudukan geografi Brunei terpisah kepada dua bahagian oleh bahagian Limbang di Sarawak dan terbahagi kepada 4 daerah (38 mukim), iaitu Brunei & Muara, Tutong, Belait dan Temburong. Daerah terbesar adalah Belait, manakala daerah terkecil adalah Brunei & Muara. Walaupun Brunei & Muara itu daerah yang terkecil, tetapi kira-kira 70% dari lebih 385, 000 penduduk negara ini tinggal di daerah tersebut dengan hampir 50, 000 orang tinggal di kawasan pusat Bandar Seri Begawan. Hanya kira-kira 12,000 (3%) penduduknya yang tinggal di daerah Temburong yang terpisah.


Peta Negara Brunei Darussalam


Untuk lanjutan kepada artikel ini, sila klik Negara Brunei Darussalam

Dialek Melayu Brunei


Kawasan Dialek


Dialek Melayu-Brunei dituturkan oleh orang-orang Melayu berketurunan Brunei yang bermastautin di negara Brunei Darussalam, Wilayah Persekutuan Labuan, dan sesetengah tempat di negeri Sabah dan Sarawak.


Sungguhpun, orang-orang Melayu Brunei itu bertaburan di seluruh negeri Sabah dan Sarawak, mereka tidak terpengaruh dengan dialek-dialek Melayu yang lain seperti dialek Melayu-Sarawak dan bahasa Kedayan (dialek Melayu-Sabah) walaupun dialek-dialek tersebut dituturkan secara meluas oleh orang-orang Melayu Sarawak dan orang-orang Kedayan. Kejadian ini adalah jauh berbeza dengan apa yang berlaku di Semenanjung Malaysia kerana kepadatan penduduk yang pesat di semenanjung telah mendorong kepada berlakunya percampuran bahasa antara setiap suku Melayu di mana setiap suku dapat memahami bahasa pertuturan suku yang lain.


Bentuk muka bumi di Pulau Borneo yang bergunung-ganang telah menghalang penyebaran dialek Melayu-Brunei ke luar sempadan negaranya. Disebabkan itu, dialek Melayu-Brunei hanya mempunyai sebuah pusat penyebaran dan perkembangannya, iaitu Bandar Seri Begawan. Wilayah Persekutuan Labuan tidak dikira sebagai pusat penyebaran dialek Melayu-Brunei di luar negara disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya, kedudukan pulau tersebut yang terlalu hampir dengan Brunei selain berlakunya penyebaran bahasa Kedayan di situ (kerana lokasi W.P Labuan juga berdekatan dengan negeri Sabah).


Bandar Seri Begawan, ibu Negara Brunei Darussalam


Suku Melayu Brunei


Seperti suku-suku Melayu yang lainnya, orang Melayu Brunei juga merupakan salah satu dari kebanyakan suku-suku Melayu yang bertaburan di seluruh Nusantara.


Di Malaysia, suku Melayu-Brunei banyak terdapat di negeri Sabah, menjadikannya etnik Melayu kedua terbesar di negeri tersebut. Orang Kedayan, iaitu kumpulan etnik Melayu yang terbesar di Sabah mempunyai darah campuran Melayu-Brunei dan Jawa.


Jumlah sebenar suku Melayu Brunei tidak dapat dipastikan kerana tiada kajian yang dilakukan untuk memastikannya. Jika ada kajian yang dilakukan pun, kajian tersebut pasti menemui jalan buntu kerana orang-orang Melayu Brunei tinggal berserakan di seluruh negeri Sabah dan Sarawak. Akan tetapi, berdasarkan kiraan secara kasar, jumlah keseluruhan orang Melayu berketurunan Brunei adalah seramai hampir 400, 000 orang (65% daripadanya tinggal di Negara Brunei Darussalam manakala 35% lagi tinggal di negeri Sabah dan Sarawak)


Ciri-ciri Dialek Melayu-Brunei


Terdapat pengguran huruf ‘h’ di tengah kata, contohnya ‘lihat’=liat, ‘pahit’=pait


Sesetengah huruf ‘e’ dan ‘i’ di tengah kata digantikan dengan huruf ‘a’, misalnya ‘kena’=kana, ‘sebut’=sabut, ‘itu’=atu, ‘ini’=ani


Selain itu, terdapat juga penggantian abjad ‘e’ sebelum akhir kata dengan abjad ‘i’, contohnya ‘boleh’=bulih. Seperti yang dapat kita lihat dalam perkataan ‘boleh’, huruf ‘o’ selepas awal kata turut digantikan dengan huruf ‘u’


Kesimpulannya, sebutan dalam dialek Melayu-Brunei agak dipengaruhi oleh sebutan jawi. Di samping itu, dialek Melayu-Brunei mempunyai ciri-ciri persamaan dengan bahasa Minangkabau dialek Padang (seperti 'e' dan 'i' ke 'a', dan penggunaan sebutan jawi yang meluas) kerana sejarah menunjukkan bahawa suku Sakai (iaitu keturunan Melayu-Brunei yang terawal) merupakan suku Melayu-proto (yang hanya terdapat di Semenanjung Malaysia) dari keturunan Minangkabau yang bertutur dalam bahasa Minangkabau.

Negara Brunei Darussalam

ﻨﻜﺎﺮﺍ ﺑﺮﻭﻨﻲ ﺪﺍﺭﺍﻠﺴﻼﻢ


Brunei Darussalam, satu-satunya negara Melayu di atas muka bumi yang mengamalkan pemerintahan berbentuk monarki berbanding Malaysia yang menjalankan pemerintahan berbentuk Persekutuan Raja Berpelembagaan (Penyatuan kerajaan-kerajaan beraja di bawah satu negara). Negara kecil ini yang tersorok di antara negeri Sabah dan Sarawak di Pulau Borneo merupakan sebuah negara yang memiliki khazanah alam yang tidak ternilai sehingga digelar ‘Hati Kehijauan Borneo’


Kedudukan geografi Brunei terpisah kepada dua bahagian oleh bahagian Limbang di Sarawak dan terbahagi kepada 4 daerah (38 mukim), iaitu Brunei & Muara, Tutong, Belait dan Temburong. Daerah terbesar adalah Belait, manakala daerah terkecil adalah Brunei & Muara. Walaupun Brunei & Muara itu daerah yang terkecil, tetapi kira-kira 70% dari lebih 385, 000 penduduk negara ini tinggal di daerah tersebut dengan hampir 50, 000 orang tinggal di kawasan pusat Bandar Seri Begawan. Hanya kira-kira 12,000 (3%) penduduknya yang tinggal di daerah Temburong yang terpisah.


Peta Negara Brunei Darussalam


Sejak dahulu lagi, bahagian Limbang di Sarawak dituntut oleh kerajaan Brunei supaya negara tersebut tidak lagi terpisah kepada 2 bahagian. Majoriti penduduk Limbang adalah orang Melayu berketurunan Brunei. Selain itu, kerajaan Brunei juga menuntut pulau-pulau yang terletak di antara Brunei dan Wilayah Persekutuan Labuan yang pernah menjadi miliknya. Ini demi meluaskan perairannya serta mengeksploit minyak mentah dan gas asli yang terdapat di kawasan tersebut. Walau bagaimanapun, pulau-pulau tersebut diiktiraf sebagai sebahagian dari Malaysia di peringkat antarabangsa.


Brunei merupakan salah sebuah dari 10 kerajaan Melayu yang memiliki raja atau sultan. Dari 10 buah kerajaan tersebut, Brunei satu-satunya kerajaan yang berdaulat kerana bergelar negara berbanding baki sembilan kerajaan lagi yang menjadi sebahagian dari Persekutuan Malaysia atau hanya bertaraf negeri. Untuk fakta, Brunei juga merupakan satu-satunya kerajaan Melayu beraja yang terletak di luar Semenanjung Tanah Melayu.


Hasil ekonomi Brunei banyak dipengaruhi oleh kegiatan perlombongan minyak mentah dan gas asli. Penemuan lombong petroleum di perairannya pada tahun 1924 oleh Syarikat Shell Brunei merupakan satu rahmat dari Allah s.w.t. Lantaran itu, Brunei mencatatkan kenaikan ekonomi secara mendadak yang tertinggi dalam sejarah dunia, iaitu sebanyak 2400%. Malaysia sendiri mengambil masa hampir 50 tahun untuk mencatatkan kenaikan ekonomi setinggi itu. Disebabkan itu, Brunei menjadi kerajaan Melayu yang terkaya di dunia dan antara kuasa kuat ekonomi Asia. Walaupun begitu, purata kenaikan ekonomi Brunei adalah kurang 1% setahun berbanding Malaysia, iaitu lebih 6% setahun.


Salah sebuah pelantar minyak yang terdapat di perairan Brunei


Demi mengukuhkan kedudukan ekonominya, kerajaan Brunei telah menukarkan nama rasmi mata wangnya dari Ringgit Brunei kepada Dolar Brunei di peringkat antarabangsa. Berbeza dengan Brunei, mata wang Malaysia masih dikenali sebagai Ringgit Malaysia (RM / MYR) di peringkat yang sama. Tukaran Dolar Brunei (BND) berbanding Dolar Amerika (USD) adalah kira-kira BND 1.545 sedolar. Meskipun begitu, mata wang dolar tersebut masih dikenali sebagai ringgit dalam kalangan masyarakat Melayu tempatan. Untuk fakta, perkataan ringgit itu sendiri merupakan istilah dolar dalam bahasa Melayu.


Mata wang 50 Ringgit Brunei (pandangan hadapan)



Mata wang 50 Ringgit Brunei (pandangan belakang)


Sebelum tahun 1924, kegiatan ekonomi Brunei adalah berasaskan Industri Kecil Sederhana (IKS). Ketika itu, Brunei adalah antara negara termiskin dunia, tetapi kini Brunei telah terkenal di seantero dunia dengan kekayaannya. Pendidikan dan perubatan rakyat dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan hasil dari faedah minyak. Di samping itu, kerajaan turut memberikan subsidi beras dan perumahan kepada semua rakyatnya. Kesannya, rakyat negara Brunei menikmati purata pendapatan tahunan sebanyak USD 24, 826 atau BND 38, 367 / RM 84, 408.


Sultan Brunei ketika ini, iaitu Sultan Haji Hassanal Bolkiah merupakan pemerintah yang terkaya
di dunia. Baginda pernah menjadi orang terkaya di dunia sebelum ditandingi oleh Bill Gates, seorang usahawan perisian komputer dari Amerika Syarikat. Istananya yang dibina di tebing Sungai Brunei, merupakan istana kediaman yang terbesar di dunia bersama-sama kubah yang disaluti emas melambangkan kekayaan negara Brunei.

Istana Nurul Iman, lambang kekayaan Negara Brunei Darussalam


Pengamalan hukum dan budaya Islam di Brunei dilihat lebih konservatif berbanding Malaysia. Ini kerana penjualan dan pengambilan arak di hadapan khalayak diharamkan. Awal 1990-an, semua pub dan kelab malam di Brunei diarahkan tutup serta-merta dan diharamkan beroperasi. Selain itu, tiada manusia yang dapat dilihat bermandi-manda di kawasan pantai kerana undang-undang Brunei telah menetapkan bahawa sebarang aktiviti yang melibatkan pendedahan aurat kepada orang ramai diharamkan.


Brunei merupakan satu-satunya negara di dunia yang mempunyai dua tulisan rasmi untuk satu bahasa, iaitu jawi dan rumi. Walaupun sistem tulisan bahasa Melayu itu sememangnya terbahagi kepada kedua-dua tulisan tersebut, di Malaysia, Indonesia dan Singapura, tulisan jawi hanya terbatas kepada hal-hal keagamaan sahaja jika dibandingkan dengan Brunei. Pemandangan biasa yang dapat dilihat di Brunei ialah pemaparan kedua-dua jenis tulisan di papan-papan tanda penunjuk arah dan nama jalan serta sebagainya. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa buah negeri di Malaysia yang masih mengutamakan jawi seperti Brunei, iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.


Seperti mana Malaysia, penduduk negara Brunei juga terdiri daripada masyarakat berbilang kaum. Kira-kira 66% penduduknya adalah suku Melayu Brunei, manakala bakinya terdiri daripada kaum Cina, suku-suku Melayu yang lain (Kedayan, Tutong, Dusun, Belait, Murut dan Bisaya) dan suku-suku kaum yang berasal dari Sabah dan Sarawak terutamanya Iban. Minoriti terbesar didominasi oleh kaum Cina dengan peratusan melebihi 15%.

Sejarah Negara Brunei Darussalam

Susur Galur dan Sejarah Pembukaan Negara Brunei Darussalam


Perkataan ‘Brunei’ dikatakan berasal dari perkataan ‘baru nah’. Dalam kurun ke-7 M atau 8 M, suku Sakai yang dipimpin oleh Patih Berbai pergi ke Sungai Brunei untuk mencari suatu tempat yang sesuai untuk didirikan negeri baru. Akhirnya, tempat tersebut iaitu Bandar Seri Begawan sekarang dijadikan negeri kerana kedudukannya yang begitu strategik, sungainya kaya dengan sumber protein dan air manakala kawasannya yang berbukit-bukau terlindung dari bencana. Disebabkan itu, mereka pun mengucapkan perkataan ‘baru nah’ yang bermaksud tempat itu sangat baik. Lama-kelamaan, perkataan ‘baru nah’ itu berubah menjadi Burneo dan akhirnya Brunei.


Brunei pada asalnya dikenali dengan nama Burneo (dalam dialek Melayu-Brunei, tidak wujud abjad ‘o’ di tengah kata, tetapi digantikan dengan huruf ‘u’. Sepatutnya ‘Borneo’). Ini menunjukkan bahawa Brunei pernah suatu ketika menguasai keseluruhan Pulau Borneo. Nama pulau tersebut juga dipercayai diambil dari nama Brunei.


Sebelum tertubuhnya Kesultanan Melayu Brunei, para pengkaji sejarah mempercayai bahawa telah wujud kerajaan lain yang dikenali dengan nama Po-ni berdasarkan catatan I-Ching dari China. Manakala catatan Arab pula memanggil kerajaan tersebut dengan nama Dzabaj atau Randj.


Zaman Kegemilangan Empayar Brunei


Brunei mencapai zaman emasnya dalam abad ke-15 M hingga ke-17 M ketika pemerintahan Sultan Bolkiah (1473-1521) di mana kawasan empayarnya diluaskan ke seluruh Pulau Borneo, kepulauan Mindanao dan Manila di Filipina. Dalam abad ke-15, iaitu bermula pada tahun 1511, Brunei telah mengambil alih peranan Melaka sebagai pusat penyebaran agama Islam yang terpenting di rantau Asia Tenggara.


Kemerosotan Empayar Brunei


Kemerosotan Empayar Brunei berlaku dalam abad ke-19 di mana Brunei telah kehilangan banyak wilayahnya kepada Raja Putih Sarawak, James Brooke. Ketika itu, Sultan Omar Ali Saifuddin II telah melantik Pangeran Indera Mahkota untuk mewakili Kesultanan Brunei di Sarawak. Walau bagaimanapun, Pangeran Indera Mahkota telah menindas orang-orang Melayu dan Bidayuh di Sarawak. Makanya, dalam tahun 1836, penduduk Sarawak telah menimbulkan penentangan untuk membebaskan Sarawak daripada pemerintahan Kesultanan Brunei. Sultan Omar kemudiannya menghantar Pangeran Raja Muda Hashim untuk membantu menyekat penentangan di sana kerana Pangeran Indera Mahkota gagal berbuat demikian.


James Brooke, seorang bekas tentera British dan pelayar bebas yang ketika itu sedang berlabuh di Sarawak diminta bantuannya oleh Pangeran Raja Muda Hashim untuk menamatkan kekacauan. Pangeran Raja Muda Hashim menawarkan jawatan Gabenor Sarawak jika James Brooke berjaya menamatkan penentangan di Sarawak. Apabila James Brooke telah berjaya, Pangeran Raja Muda Hashim melengah-lengahkan janjinya dan akibatnya James Brooke bersama angkatan tenteranya telah membedil bandar Kuching. Dalam tahun 1841, James Brooke dilantik oleh Pangeran Raja Muda Hashim menjadi gabenor dan raja Sarawak yang pertama.


Pada tahun 1842 pula, James Brooke menghadap Sultan Omar untuk mengesahkan perlantikannya. Hasilnya, beliau dilantik menjadi Raja Putih Sarawak. Sultan Omar kemudiannya melancarkan peperangan terhadap James Brooke pada tahun 1846, tetapi tewas dalam peperangan tersebut kerana James Brooke dibantu oleh angkatan tentera British. Akhirnya, baginda tidak mempunyai pilihan lain kecuali mengiktiraf kedaulatan James Brooke ke atas Sarawak.


Sarawak yang pada asalnya hanya merangkumi kawasan sekitar bahagian Kuching hingga ke Sungai Samarahan membesar sedikit demi sedikit sehingga seperti yang dapat kita lihat pada hari ini. Semua ini berlaku kerana dasar perluasan kuasa yang diamalkan oleh keluarga Brooke. Dasar perluasan kuasa ini tamat pada tahun 1905.


Penyatuan kerajaan Brunei dengan Persekutuan Malaysia


Tanggal 27 Mei 1961, iaitu ketika cadangan untuk menubuhkan Persekutuan Malaysia diusulkan oleh Tunku Abdul Rahman (Perdana Menteri Malaysia yang pertama), Brunei dengan pantasnya memberi sokongan. Sultan Omar Ali Saifuddin III telah bersetuju untuk menyertai Persekutuan Malaysia yang bakal merangkumi Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan negaranya sendiri. Walau bagaimanapun, penyatuan Brunei dengan Persekutuan Malaysia amat ditentang oleh A. M. Azahari, iaitu pemimpin Parti Rakyat Brunei. Beliau ketika itu telah dipengaruhi oleh kerajaan Indonesia dan Filipina yang turut menentang keras penubuhan Persekutuan Malaysia. Indonesia ingin bersatu dengan Malaysia yang mahu dinamakannya Indonesia Raya atau Melayu Raya manakala Filipina pula menuntut negeri Sabah yang didakwanya sebagai wilayah jajahan Kesultanan Sulu, sebuah institusi kesultanan di negaranya.


A. M. Azahari juga turut berhasrat dan mengusulkan cadangannya untuk menyatukan Brunei, Sabah dan Sarawak yang bakal dikenali dengan nama Kalimantan Utara atau Persekutuan Borneo Utara. Walau bagaimanapun, Majlis Negeri Brunei tidak meluluskan penubuhan Persekutuan Brunei seperti yang dicadangkannya. Makanya, Parti Rakyat Brunei telah melancarkan suatu pemberontakan diketuai A. M. Azahari untuk menggulingkan Sultan Omar Ali Saifuddin III dari takhtanya pada 7 Disember 1962. Sultan Omar akhirnya terpaksa membatalkan rancangannya untuk menyertai gagasan Persekutuan Malaysia demi mengekalkan keamanan.


Bandar Seri Begawan Sebagai Ibu Negara


Bandar Seri Begawan, ibu negara Brunei Darussalam


Nama Bandar Seri Begawan diambil sempena memperingati gelaran yang diberikan kepada Sultan Omar Ali Saifuddin III, Sultan Brunei yang ke-28, iaitu Paduka Seri Begawan Sultan. Pada tahun 1970, nama asal Bandar Seri Begawan iaitu Bandar Brunei telah ditukar namanya. Rakyat tempatan memanggil ibu negara mereka dengan nama ‘Bandar’ seperti nama ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur yang disingkatkan menjadi KL.


Kemerdekaan Brunei


Brunei mencapai kemerdekaannya pada 1 Januari 1984 dari kerajaan British. Walau bagaimanapun, kemerdekaan Brunei disambut secara rasmi pada 23 Februari 1984. Sebelum ini, Brunei merupakan sebuah negara perlindungan United Kingdom sejak 1888.

Panduan Pengguna

A

Akuan mengaku

Alai; mengalai menari, meronggeng

Asang insang

Auda awak, kamu, engkau

B

Bakut tambak

C

D

E

Enggar bising

Engkunai sj tumbuhan (yg kuat kayunya)

F

G

Gimbar susunan (kedudukan) yg sebelah-menyebelah

Gocok gobek

Gabung perahu

H

Halis garisan buih yang terjadi pd tempat pertemuan dua arus

Hangun solek ; ‘berhangun’=menyapu bedak (alat solek), bersolek: majlis ~ puteri itu dilangsungkan sesudah akad nikah

I

Inda Mn tidak

J

K

Kelabat sj monyet besar, mawas, orang hutan

Kelentugi sj halipan (tubuhnya hitam dan kakinya kuning)

Keruai sj burung, kuang, kuau

Kikuk sj kera, cengkok

Kilala kenal

Kirai kening

Kontol tanah lekuk yg berisi air (tempat kerbau berkubang), kubang

Koris kudis

Koyok anjing

Kuari; kuari pintu lubang atas lekuk utk dimasukkan selak (palang), selak pintu

Kuba makam, kubur orang yg mulia-mulia

Kubal sj sagu

Kudut pinggan

Kulimbambang, kulimambang sj kupu-kupu

Kulimpapat kelip-kelip, kunang-kunang

Kuruh dengkur ; ‘berkuruh’=berdengkur, beruh

Kurapak nasihat

L

Lakai; lakai-lakai selain suluh drpd damar dll, sigi (sj suluh)

Lakat masih, atas, terus (hidup, berlaku dll): semasa ayahnya ~ hidup, Sakinah tidak pernah berkawan dgn mana-mana lelaki jua pun

Lalam hujan panas

Lalap daging yg dikeringkan

Lamiding paku-pakis

Langgar bahagian yg beratap (di hadapan rumah)

Langis bersih, suci

Lanting sj rakit

Lanto Mn lantung, bunyi yg kuat (letupan dll)

Larai layar (pd kapal)

Lasuk sj bakul

Lauk ikan hidup

Lenguai sj tepak sirih yg bentuknya bulat (diperbuat drpd kuningan)

Léon liun ; ‘berléon’=berpusing-pusing, berliun

Limpas lalu di

Linggar mudah terbalik (perahu), oleng

Luba sj pokok, palma

Lukut paku

Lulu rekah, pecah (spt kulit bakau)

Lumading anak ikan tenggiri

Lundung malas

M

Malagas tidak berdaun (tumbuh-tumbuhan)

Malai selalu, biasa, lalai (akan sesuatu)

Malangap terbuka luas-luas (mulut ketika orang berteriak dll)

Manas manik

Maritam, meritam sj buah yg rupanya spt buah rambutan, pulasan

Melaban sj buah yg boleh dimakan

Meris bocor, tiris

Miatu begitu, spt itu

Mongsang musang

Mua muka

Mengalimut mencerca, mengata-ngata, mengeji

N

Ngalih penat, letih

O

P

Pacah buta

Padian pasar air

Pajah; memajahkan memadamkan (lampu)

Pajal paksa

Pakah barangkali, mungkin

Pakarang menangkap ikan ; ‘pakarangan’=perahu atau tempat untuk menangkap ikan

Pakul tempat duduk (lapik punggung) dia atas kerbau

Pampan; memampan menutup atau menyekat (anak sungai, lubang dll), menampan

Pampang cabang penahan kemudi

Pandiang pelacur, sundal

Pandidip gores api, mancis

Panguling bidan

Pantak sihir

Patang gelap

Patungut puntung kayu dll yang berapi: ~ rokok / puntung rokok

Payau rusa

Payuk; dipayuk dibelenggu (tangan), digari

Perapatan rapatan: ~ perahu itu berlubang-lubang menyebabkan air masuk sedikit ke dalamnya.

Piasau kelapa, nyiur

Pihit, memihit menekan, menghempap, menindas

Pundok; berpundok-pundok tidak berbuat apa-apa, menganggur

Pungar pokok mati

Pungaut senduk nasi, alat mengaut nasi

Puspa mahkota

Q

R

Rabah rebah

Rambat Pr Kd jala

Ramis remis

Repana rebana

Repau, repaur hampas sagu, tahi sagu

Ringkat mangkuk tingkat, mangkuk tepeng, siya

Rogat koyak, rabik (telinga)

Ruang penjodoh bilangan bagi perahu: gabung se~ / sebuah perahu

S

Salajur (dgn) serta-merta, langsung, terus: saya akan ~ pulang ke rumah selepas kerja

Salambo sj jaring utk menangkap ikan

Salang damar

Sambat awal (hari), pagi hari

Sambrana tidak cermat (teliti dll), sambalewa

Sampar sj hantu yang menyebabkan penyakit

Sandak sj perkakas (spt cakar) utk meratakan tanah

Sangku sj lembing yang matanya diikat pada tangkainya

Sapar; bersapar-sapar bersekat-sekat (rumah dll)

Sarah I Mn serah

Sarah II sj kotak (peti kecil)

Sarang; sarang-sarang sj tudung saji

Saraung topi

Sarudung sj pondok yg didirikan di atas lantai rumah yg belum siap

Sarut sj ambung (bakul yg dibawa di atas belakang)

Sasar tolak, ajak

Sawang lubang

Sawor sahur

Segup tembakau

Selambau My menjaring ikan (cara Brunei)

Senatu kep sana itu

Sepak jari yg lebih (pd tangan)

Serawung terendak

Sering (bahagian) tepi atau pinggir

Siar; udang siar sj udang

Sikap I siap (berpakaian) ; ‘bersikap’=bersiap

Sikap II; sikap keri kidal

Sira garam

Sirik sirip (ikan)

Sirung serong

Sisang sj serangga (yg merosakkan padi)

Spardian drpd satu keluarga (bersaudara)

Stampik sebelah, sekerat

Stagal, setagal (kata dasar: tagal) sebentar, sekejap

Sulap pondok yg diperbuat drpd daun-daun kayu (digunakan utk sementara shj)

Sulup tempat berteduh (di tepi jalan dll), pondok

Sungkai (ber)buka puasa

Suraga seraga (bantal besar)

Suruk sj serangga (yg menggigit)

T

Tabak tikam

Tabuk jendela, tingkap

Tadak cacah

Tagar karat

Takat terumbu

Takul peluk, dakap

Tambak dapur yg diperbuat drpd tanah

Tambing tebing sungai

Tampang pipit serunai

Tampik; menampik membelah dua (buah dll)

Tanggar; bertanggar bergalah ke mudik

Tanglung bahagian alat tenun

Tapuk sembunyi

Taruk ungu kemerah-merahan

Tayum; temayum masa matahari terbenam (ketika hampir senja)

Tebasan My Id kawasan yg sudah ditebas

Tempuan jalan rentas

Tengkalak baluk kayu yg dipasang atas tiang layar

Tuhus turun (air bah dll), surut (air laut)

Tuhut lutut

Tumpung sj bekas air drpd buluh

Tundun Mn tengkuk

Tungkus kain kafan

Turuk; turuk-turuk caping

U

Udar mengikat tegang-tegang (tali kapal yg berlabuh)

V

W

X

Y

Z

Sabtu, 10 November 2007

Rujukan

1. Kamus Dewan keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
2. Atlas Dunia keluaran GOLDEN Sdn. Bhd.
3. Buku-buku Teks Sejarah Tingkatan 1 - Tingkatan 3
4. Ensiklopedia Melayu Jilid 1
5. Laman web www.wikipedia.org

*Terima Kasih kepada semua pihak yang telah membantu saya dalam menyiapkan Kamus Dialek Melayu-Brunei versi 'online' ini terutamanya kepada seorang sahabat dari Negara Brunei Darussalam yang telah banyak membantu dalam kajian saya tentang dialek Melayu-Brunei.